Lawati blog Prisma?

Jom Undi, klik bawah...

Khamis, 25 Mac 2010

Ucapan Presiden PERMATA


Alhamdulillah, syukur ke hadrat  Allah serta  selawat dan salam kepada junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW. Setelah KARISMA 09 melabuhkan tirainya di Mu’tah pada tahun lepas, sudah tentu tahun ini kemunculan  KARISMA 10, acara yang penuh berprestij ini  dinanti-nantikan oleh semua  warga mahasiswa Jordan. Syabas kepada jawatankuasa pelaksana serta mahasiswa di Mafraq kerana cuba untuk meniupkan semangat sukan yang bertunjangkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa Jordan.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat berjuang kepada seluruh mahasiswa mahasiswi Jordan di seluruh mantiqah.  Mu’tah yang mempunyai komposisi mahasiswa kedua terbesar selepas mantiqah Irbid akan mara memberi saingan yang lebih hebat kepada sahabat-sahabat dari mantiqah lain, demi meningkatkan prestasi kami pada tahun lepas yang menyandang gelaran naib juara keseluruhan. Apa yang diharap adalah sokongan dan usaha yang padu daripada kontijen Mu’tah agar kita terus dapat memberi saingan yang sengit nanti. Insya-Allah dengan masa yang masih berbaki ini, Mu’tah akan menggegarkan Mafraq, seterusnya menempa kejayaan yang cemerlang di gelanggang  KARISMA 10 nanti.

Walaubagaimanapun, apa yang lebih penting untuk dicapai dalam siri-siri program yang dianjurkan oleh MPPM termasuklah KARISMA adalah mempertemukan serta mempersaudarakan semua rakyat Malaysia yang belajar dari pelbagai universiti di Jordan ini. Acara-acara  yang dipertandingkan dalam KARISMA adalah  sebagai salah satu wasilah untuk mencipta kenangan manis persaudaraan yang dibina atas dasar akidah yang satu ini.  Sehubungan dengan itu, saya menyeru sahabat-sahabat dari Mu’tah dan mantiqah lain agar dapat menggunakan peluang keemasan ini untuk mengeratkan lagi kesatuan yang tersedia ada . Jadikanlah gelanggang pertandingan sebagai  tempat penjanaan perpaduan dan bukan hanya tempat untuk menguji kecergasan fizikal dan minda semata mata.

Dengan bersemaraknya kegiatan sukan, hasil usaha bersungguh-sungguh kerajaan Malaysia, saya yakin kegiatan sukan dapat memenuhi konsep cara hidup yang aktif dan sihat ke arah peningkatan kualiti hidup. Usaha yang digarap oleh Jabatan Penuntut Malaysia melalui MPPMJ dapat membentuk nilai-nilai ketangkasan fizikal dan mental termasuklah keyakinan diri serta semangat berdaya saing dan berdaya tahan.  Nilai-nilai positif inilah yang wajar dicetuskan dalam hati nurani kita dan menjadi sebahagian daripada hidup kita agar dapat mempersiapkan diri sebagai agen pemangkin pembangunan pada masa hadapan.

Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa pelaksana. Saya percaya tanpa persediaan yang bersungguh-sungguh dan perancangan yang rapi, program sebesar ini  sudah tentu tidak dapat dilaksanakan. Oleh itu, saya juga berharap semua kontijen dari pelbagai mantiqah  dapat menunjukkan kesungguhan dan akhlak terpuji demi membalas jasa jawatankuasa pelaksana yang telah dicurahkan.

Ahmad Amiruddin Bin Haji Ibrahim,
Presiden,
Persatuan Pelajar Malaysia Universiti Mu’tah,
Sesi 2009/2010.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Berikan Kata-Kata Semangat Anda...