Lawati blog Prisma?

Jom Undi, klik bawah...

Isnin, 22 Mac 2010

Nukilan Pengarah Karisma 2010


Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas Junjungan besar Nabi Muhammad saw serta sekalian Para Sahabat baginda dan Tabien. Semoga ALLAH taala mencucuri rahmat kepada mereka semua, amin.
Terdahulu, saya mengucapkan salam sejahtera kepada semua teman-teman mahasiswa di setiap mantiqah. Dengan harapan yang tinggi dan besar agar ukhwah kita sentiasa berkekalan.
Meminjam sepotong kata hukama' yang bermaksud: ‘Akal yang cerdas bermula daripada tubuh badan yang cergas’
Sahabat-sahabat sekalian,
ISLAM adalah sebuah agama yang dasarnya melengkapi seluruh aspek kehidupan. Bermula daripada sudut kerohanian yang wajar diutamakan, aspek jasmani juga turut tidak diabaikan. Kalaulah kekuatan sebuah agama seperti ISLAM ini letaknya pada kekuatan rohani, maka begitu jualah pada manusia. Jasmaninya akan beroleh kekuatan melalui kesihatan tubuhnya. Maka, ISLAM tidak mahu penganut agamanya hanya mempunyai kelebihan dari sudut rohani semata-mata, tetapi juga jasmani yang kental. Bukankah untuk mempertahankan daripada serangan musuh, kita memerlukan tubuh yang sihat dan kekuatan yang tinggi?
Oleh itu, jalan terbaik bagi mengukuhkan kekuatan jasmani ini tidak lain tidak bukan melalui latihan jasmani samada bersukan atau sebagainya. Apabila fizikal manusia sudah sihat, ia bakal melahirkan kekuatan pemikiran dan minda yang cerdas. Ia berupaya mengatasi segala pencapaian diri. Maka, kita harus menyahut seruan Nabi saw ini sebagaimana hadis yang telah saya bacakan di atas.
Teman-teman yang budiman,
                Apa yang kita mahukan bukan sekadar minda yang tajam tetapi sekaligus dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan tubuh badan. Tidak rugi jika amalan bersukan seperti ini dipraktikkan di sepanjang kehidupan kita, ia bukan sahaja dapat memberi kesihatan bahkan mampu menghindari diri daripada sebarang peyakit. Bukahkah pepatah arab ada menyebut: ‘Mencegah itu lebih baik daripada merubat’ .  salah satu cara mencegah penyakit adalah dengan bersukan.
                Menyahut seruan itu, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM) sekali lagi pada tahun ini akan menganjurkan acara tradisi iaitu Karnival Sukan untuk anda semua. Saya selaku pengarah yang diamanahkan untuk menjadi pengemudi temasya besar ini dengan berbesar hati mengucapkan selamat datang ke tanah Mafraq. Pada tahun ini, Mafraq yang telah sepi dari beberapa program besar MPPM bakal menjadi tuan rumah anda. Saya tidak mahu lagi menjanjikan apa-apa kejutan, tetapi cukup saya hanya katakan bahawa temasya kali akan saya lakukan yang terbaik untuk anda semua. ‘Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan!’
Tidak cukup dengan itu, dengan bertemakan MINDA ATASI UPAYA ini saya kira ia mampu menggerakkan seluruh kekuatan anda untuk melakukan yang terbaik untuk acara ini. Saya tidak memandang bahawa sukan ini hanya untuk bersuka-ria semata-mata, jauh daripada maksud itu saya mahukan ia bakal menjadi medan yang dapat menyatukan seluruh ukhwah kita. Masih ingat lagikah tema KARISMA tahun yang lalu? Amat cantik maksudnya ‘Saya Datang Kerana Ukhwah’. Ia sudahpun menjadi realiti. Lalu, misi ukhwah mesti kita panjang-panjangkan melalui medan sukan ini sehingga ke saat ini.
Kepada seluruh kontinjen yang bakal menonjolkan bakat dan kekuatan dalam persaingan ini, jangan lupa bahawa sukan juga adalah ibadah kepada ALLAH. Jika kita tersimpang daripada tujuan ini, maka ia akan mengurangkan nilai kita di sisi ALLAH taala. Bersemangat itu perlu, tetapi apa yang lebih perlu kita menjaga batas-batasnya.
Teman-teman,
                Seperti tahun-tahun yang lalu, acara yang dipertandingkan adalah serupa. Maka, pesan saya kepada semua kontinjen dan atlet yang bakal bertanding, pastikan anda mempunyai persiapan yang sepenuhnya. Kalaupun kita tidak mendapat yang terbaik, sekurang-kurangnya kita mampu melakukan yang terbaik. Mafraq, Irbid, Mu’tah dan Amman, semua ini nama-nama hebat yang mampu melakukan sesuatu kelainan dan kejayaan yang besar.
Akhir kata, selain mengharapkan komitmen yang besar daripada seluruh teman mahasiswa dalam temasya itu nanti, saya juga tidak jemu untuk berpesan agar di dalam temasya itu nanti kita mesti bersatu. Saya mahukan, bukan sekadar sukan sahaja yang maju, tetapi juga ukhwah yang bersatu. Sambutlah salam manis daripada saya dan seluruh ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus menjayakan KARISMA ini. Berjumpa kita di Mafraq,tanah tandus tp penuh harapan dan impian anda untuk mencipta sejarah kejuaraan.
Salam ukhwah, majulah sukan untuk Negara.
MINDA ATASI UPAYA’

Pengarah KARISMA 2010
Roy Andika bin Soeharto