Lawati blog Prisma?

Jom Undi, klik bawah...

Isnin, 5 April 2010

Ucapan Presiden PPMA



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

            Alhamdulillah diucapkan, pujian dan syukur kepada Tuhan Sekalian Alam yang memberikan kita kesihatan untuk beriadah dan menganugerahkan nafas untuk merasai nikmat kehidupan. Selawat dan salam rindu kami kepada junjungan besar Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga baginda dan sahabat-sahabat radhiallahu ‘anhum ajma’in. Moga kita tergolong dalam golongan yang bersama mereka kelak insya-Allah.

            KARISMA pada tahun ini sekali lagi bertandang menyambut mesra para mahasiswa se-Jordan, tahniah diucapkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM) kerana berjaya menganjurkan program yang meningkatkan semangat mahasiswa sekalian. Kami Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA) meskipun kecil bilangannya tetapi ia tidak membawa maksud kecil juga semangatnya, bak cili padi yang dikenali kerana kepedasannya. Dengan berbekalkan moto ‘Minda Atasi Upaya’ yang telah dilaungkan oleh ajk KARISMA pada tahun ini, kami akan terus maju melangkah ke hadapan membentuk minda yang mampu mengatasi keupayaan, insya-Allah.

            Sebagaimana yang dimaklumi, PPMA pada tahun lepasnya menarik diri daripada  KARISMA dek kerana syarat-syarat yang menyukarkan kami untuk masuk bertanding, maka kami pada tahun ini akan bangkit menuntut kembali piala-piala kami, bangun menyebarkan sayap kegemilangan kami dan berjuang mengharumkan nama PPMA di seluruh Jordan.  

            Namun begitu, perlu diingatkan objektif sebenar program KARISMA ini, iaitu untuk mengukuhkan ukhuwah mahasiswa-mahasiswa Jordan tanpa mengenal mantiqah, universiti mahupun menang kalah. Bersukanlah dengan niat mendapat keredhaan Allah kerana di sanalah kemenangan yang hakiki. Adapun kejayaan yang dikecapi tanpa mengira baik buruk itu sebenarnya adalah satu kegagalan yang dianugerahkan kepada kita tanpa kita sedari. Oleh kerana itu, bersukanlah sebagaimana bersukannya para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam.

            Akhir kalam, kepada mahasiswa PPMA khususnya dan mahasiswa se-Jordan amnya, doa dan harapan kepada Allah SWT itu janganlah sekali-kali dilupa serta diendahkan, tanpa-Nya kita tidak lebih nilainya daripada abu dan sampah yang berselerak. Hanya dengan bantuan-Nya kita akan memperolehi kejayaan. Harapan kami agar KARISMA kali ini mampu memberi impak positif kepada mereka yang terlibat samada secara rasmi mahupun bukan. Tidak dilupakan juga kepada ajk KARISMA yang bertungkus lumus menjayakan program, semoga kalian mendapat kebaikan di sisi Allah.


Wan Abdul Baith Izzuddin bin Wan Mustapa
Timbalan Presiden I,
Persatuan Penuntut Malaysia Amman (PPMA),
Sesi 2009/2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila Berikan Kata-Kata Semangat Anda...